Zakat Emas dan Perak

Emas dan perak adalah merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah SWT. Ia merupakan hasil bumi yang banyak manfaat kepada manusia dan manusia pula menjadikannya nilai tukaran wang bagi segala sesuatu. Sementara syariat pula mengibaratkan emas dan perak sebagai sesuatu kekayaan alam yang hidup dan berkembang. Syariat juga telah mewajibkan kedua-duanya boleh digunakan dalam bentuk wang atau kepingan, bekas bejana, cenderahati, ukiran atau perhiasan.

Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

Dalil Wajib Zakat

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkanlah kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu”

(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka; setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka”.

(Hadis riwayat Abu Hurairah)

KAEDAH KIRAAN ZAKAT EMAS & PERAK

Emas Perhiasan Wanita

Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. LZS (MAIS) mengambil kira kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram

* Kadar uruf emas berbeza mengikut negeri masing-masing.

Contoh:

Berat emas yang dipakai = 900 gram

Uruf emas = 800 gram

(Berat emas yang dipakai – Uruf emas) x harga semasa x 2.5%

100 gram x RM 110 = RM 11000 x 2.5% = RM 275

Emas Yang Disimpan

Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.

Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram

Contoh:

Timbangan emas x harga semasa x 2.5%

90 gram x RM 110 = RM 9900 x 2.5% = RM 247.50

Perak

Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih

Contoh:

800 gram perak x RM 2.00(segram) x 2.5% = RM 40

Sumber : http://www.e-zakat.com.my

TAGS: , ,

0 Comments



You can be the first one to leave a comment.

Leave a Comment